Memahami Apakah Itu Makhluk Perosak

Untuk merawat dan mengawal makhluk perosak secara efektif, kita harus mengetahui setiap jenis makhluk perosak berdasarkan biologi mereka.
Ini adalah fakta-fakta anda perlu ketahui.

Anai-anai

Anai-anai merupakan serangga sosial yang mengamalkan sistem kasta. Setiap koloni dianggotai oleh Permaisuri, Raja, Askar, Pekerja, Kelkatu dan Telur. Setiap anggota kasta ini mempunyai bentuk badan yang sama namun berbeza dari segi peranan. Permaisuri dan Raja bertugas sebagai pembiak utama, manakala askar pula mempertahankan koloni daripada serangan musuh. Kelkatu terbang secara berkumpulan untuk membina koloni baru dan kemudian memulakan proses mengawan. Anai-anai yang terselamat bakal menjadi permaisuri dan raja dalam koloni baru. Pekerja merupakan anggota yang paling sibuk kerana mereka ditugaskan untuk menjaga, membina, dan membaiki sarang dan tabung lumpur. Dalam masa yang sama, pekerja juga keluar untuk mencari makanan untuk ahli koloni mereka.

Risiko

Anai-anai sering kali datang kediaman kita melalui ruang-ruang kecil yang tidak tertutup seperti lubang-lubang retakan dan celah-celah permukaan. Benda-benda yang mengandungi selulosa seperti buku, foto, dokumen dan lain-lain akan dijadikan makanan anai-anai. Setiap tahun, Malaysia menghabiskan jutaan ringgit untuk menghapuskan pembiakan anai-anai. Kos kerja membaik pulih kerosakan yang disebabkan oleh anai-anai adalah lebih kurang tiga kali ganda daripada keseluruhan kos perkhidmatan kawalan makhluk perosak.

Pepijat

Biasanya, pepijat akan menjadi lebih aktif pada waktu malam. Mereka akan menyorok di kawasan tersembunyi seperti di celah-celah permukaan atau sisa-sisa retakan pada siang hari. Di tengah malam mereka akan menyerap makanan daripada badan 'tuan rumah' tanpa disedari. Manusia merupakan tuan rumah pilihan pepijat kerana senang bagi pepijat untuk menyerap makanan pada kulit manusia ketika manusia sedang tidur. Darah manusia merupakan sumber makanan utama pepijat.

Risiko

Gigitan pepijat mungkin akan menyebabkan kulit gatal atau masalah radang kulit. Manusia akan sering mengalami gangguan tidur disebabkan oleh entomophobia (fobia pada serangga) atau kegatalan, kesan daripada gigitan pepijat. Anda boleh mengesan kehadiran pepijat dengan melihat tompok najis, cangkerang telur, dan sisa kulit. Jika kadar infestasi semakin meningkat, anda juga akan mengesan bau yang tidak menyenangkan.

Semut

Daripada 22,000 spesis semut, hanya 12,000 sahaja yang dapat dikenal pasti. Mereka senang dikenal pasti kerana sesungut mereka berbentuk siku dan mempunyai struktur seperti nod yang tersendiri, menjadikan pinggang mereka ramping. Hanya 1% daripada spesis ini dianggap sebagai makhluk perosak oleh manusia. Semut membuat gangguan dengan memasuki kawasan bangunan dan kawasan tertutup untuk mencari sumber makanan dan membina sarang mereka.

Risiko

Ada spesis semut yang lebih kurang sama dengan pepijat, iaitu semut kayu. Semut jenis ini boleh merosakkan dan memusnahkan struktur rumah sedikit demi sedikit. Jika pembiakan semut tidak dikawal, maka kesan sampingan seperti pencemaran makanan dan litar pintas mungkin akan berlaku. Semut firaun pula akan menggigit mangsa sehingga meninggalkan kesan bengkak pada kulit. Mangsa akan merasa sakit dan gatal selepas digigit.

Lipas

Terdapat tiga spesis lipas yang biasa dijumpai di Malaysia – Lipas Amerika, Lipas Jerman dan Lipas Berbadan Coklat. Lipas Amerika selalu ditemui dalam sistem saliran, tangki kumbahan, dan perangkap di lantai. Lipas Jerman juga dikenali sebagai ‘orang kaya’ kerana biasanya lipas jenis ini membiak di kawasan kedai makan atau hotel. Lipas Berbadan Coklat pula sering dilihat berkeliaran dalam kereta kerana mereka lebih gemar membiak di kawasan yang lembap. Seekor lipas dianggarkan dapat hidup tanpa makan selama seminggu, asalkan mereka mempunyai sumber air. Kitar hidup seekor lipas merangkumi tiga peringkat iaitu telur, nimfa dan dewasa. Satu telur lipas boleh menghasilkan 14-44 nimfa (anak lipas).

Risiko

Tiada penyakit spesifik yang dibawa oleh lipas, tetapi mereka dikenali sebagai agen penyakit kerana membawa berjuta-juta bakteria yang menyebabkan penyakit seperti cirit-birit dan keracunan makanan. Lipas juga penyebab alahan kerana rembesan air liur dan badan mereka mengandungi beratus alergen yang boleh memudaratkan kesihatan seperti ruam kulit, bersin dan mata berair.

Nyamuk

Nyamuk dikelaskan dalam dua kategori - nyamuk betina, mempunyai mulut berbentuk tiub yang dipanggil proboscis. Mulut nyamuk betina digunakan untuk menghisap darah daripada kulit tuan rumah, manakala nyamuk jantan pula mendapat makanan daripada madu tumbuh-tumbuhan. Spesis nyamuk yang biasa ditemui di Malaysia adalah Aedes, Culex dan Anopheles. Kitaran hidup seekor nyamuk meliputi 4 peringkat iaitu telur, larva, pupa dan dewasa. Setiap nyamuk mempunyai jangka hayat antara 5-15 hari, bergantung kepada jenis spesis nyamuk tersebut. Nyamuk aedes dianggarkan hidup selama 8-10 hari dan akan membiak dalam air jernih yang bertakung.

Risiko

Nyamuk aedes sangat berbahaya kepada manusia. Mereka pembawa demam denggi yang boleh merosakkan sistem imun badan manusia sehingga membawa maut. Nyamuk aedes juga pembawa virus lain seperti Zika dan Chikungunya, dimana manusia boleh dijangkiti dengan virus tersebut melalui gigitan nyamuk aedes.

Lalat

Terdapat banyak jenis spesis lalat. Lalat yang paling biasa ditemui termasuklah lalat rumah, lalat buah, langau hijau dan langau biru. Bahagian badan lalat yang paling unik adalah matanya, kerana terkandung beribu reseptor dan secara langsung memberikannya penglihatan yang luas. Bahagian mulut lalat pula (terutama sekali untuk lalat rumah) digunakan untuk menyerap makanan yang telah dicairkan dengan air liurnya.

Risiko

Lalat adalah serangga berbahaya yang membawa bakteria, virus dan penyakit yang menjejaskan kesihatan manusia seperti Cholera, Conjunctivitis, Salmonellosis and Tuberculosis. Lalat menyebarkan bakteria melalui angin atau makanan, yang boleh menyebabkan keracunan makanan dan cirit-birit.

Tikus

Terdapat dua spesis tikus yang biasa dijumpai di Malaysia - Tikus Norway dan Tikus Atap. Tikus memerlukan 21 hari untuk menjadi dewasa dan memulakan proses mengawan. Walaupun tikus dianggap kotor, tetapi mereka selalu bersihkan diri dengan menjilat badan mereka, sama seperti kucing. Namun, bulu mereka selalunya berminyak, jadi kehadiran mereka senang dikesan. Tahap infestasi tikus boleh dianggar dengan jumlah najis yang terdapat di kawasan tersebut.

Risiko

Tikus boleh membawa penyakit yang dikenali sebagai Leptospirosis, di mana mereka menyebarkan bakteria Leptospira melalui air kencing. Leptospirosis boleh membawa maut, kerana bakteria ini boleh merosakkan organ utama dalam badan. Tambahan pula, tikus boleh mengakibatkan kerosakan pada manusia dan perkakas rumah melalui gigitan mereka.

Burung

Apabila habitat burung diganggu, mereka akan melalui proses migrasi dan pemindahan sarang di kawasan lain, selalunya di tempat-tempat tinggi yang boleh memberikan perlindungan yang baik untuk anak-anak mereka. Kadangkala mereka akan bersarang di tempat-tempat seperti di loteng, dek, anjung, bangsal dan serombong.

Risiko

Penyakit yang datang dari burung selalu dikaitkan dengan burung merpati, burung perling, dan burung pipit. Mereka membawa kulat dan bakteria seperti Histoplasmosis, Candidiasis, Cryptococcosis, Escherichia coli (E.coli) and Salmonellosi. Kulat dan bakteria yang berasal dari najis burung ini boleh menyebabkan penyakit kulit, mulut, dan pernafasan. Habuk daripada najis burung boleh tersebar pada makanan dan bekalan air serta mengakibatkan pencemaran di kawasan tempat makan, perumahan dan kilang pemprosesan makanan.